CABARAN


Jika dilihat dari sudut yang negatif, banyak cabaran yang perlu ditempuhi oleh golongan remaja terutamanya isu yang berkaitan dengan gejala sosial yang melibatkan penggunaan siber. Lebih-lebih lagi dengan perkembangan arus semasa, kebanyakan golongan remaja menggunakan siber untuk menjalinkan hubungan sosial seperti menerusi laman web Facebook, Twitter, Friendster dan lain-lain lagi yang menawarkan pelbagai tawaran serta perkhidmatan yang menarik dan menyeronokkan yang sememangnya menarik minat para remaja untuk menyertainya. Sememangnya, tidak dapat dinafikan bahawa laman web sosial sebegin mempunyai banyak kebaikan dan kelebihan seperti dapat berhubung serta membincangkan isu-isu terkini melalui ruangan siber, namun begitu juga keburukannya kerana penggunaannya adalah tanpa kawalan. Laman-laman web sebegini juga menjadi tumpuan para penjenayah yang mahu menjadi remaja sebagai mangsa mereka. Terdapat juga para remaja mungkin tidak menyedari keperluan untuk menjaga maklumat peribadi mereka, ataupun gambar-gambar peribadi mereka daripada jatuh ke tangan pihak yang tidak dikenali dan sekaligus menjadi mangsa penjenayah-penjenayah dunia siber seperti terlibat dalam dunia pornografi, pelacuran, seks bebas, penculikan dan pemerdagangan manusia.


Antara cabaran-cabaran yang terdapat dalam dunia siber adalah antaranya :

a)      Kesahihan Maklumat.

Berpandukan kepada dalil Naqli iaitu ayat al-Quran Allah berfirman yang bermaksud: “Sekiranya datang kepadamu orang yang fasik membawa berita maka hendaklah kamu berwaspada akan kebenarannya”.

Maklumat yang tepat dan benar kesahihannya adalah penting bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan dan kepalsuan fakta. Terutama sekali dalam soal ilmu keagamaan yang perlu dipastikan kebenarannya. Pihak yang tidak bertanggungjawab sentiasa mencari jalan bagi menyesatkan dan melalaikan terhadap orang lain. Hal ini memberi cabaran terhadap proses tradisonal dalam mendapatkan maklumat yang sahih. Misalnya dengan hanya merujuk kepada bahan dari internet seperti al-Quran kemungkinan berlaku kesalahan fakta seperti ayat dari versi Israeli. Oleh itu seseorang perlulah merujuk kepada sumber asal bagi mengelakkan kekeliruan. Kesan yang nyata dari amalan ini ialah ramai pencari maklumat mudah mempercayai bahan yang diperolehi dari internet. Rujukan maklumat semata-mata kepada internet tanpa pengesahan akan menimbulkan masalah tentang kebenaran fakta sesuatu maklumat.



b)     Melayari Website Negatif

Minat dan kesukaan melayari laman-laman web yang tidak bermoral dan berfaedah memberi kesan yang negatif dalam perkembangan minda dan fizikal manusia. Ketagihan terhadap laman web negatif boleh mencetuskan kerosakan maruah seseorang, nilai keperibadian, dorongan terhadap jenayah seksual, masalah perundangan dan pembaziran wang.

Kewujudan laman web lucah yang mudah diakses oleh sesiapa sahaja termasuk anak-anak sekolah, remaja dan golongan dewasa memberi kesan negatif terhadap perubahan nilai dan gaya hidup mereka. Larangan agama terhadap perlakuan yang boleh menghampiri zina tidak mampu menyekat remaja dan golongan dewasa daripada menghindari perbuatan tercela. Sebagaimana firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud “Jangan kamu hampiri perbuatan Zina kerana ia adalah amalan yang sangat keji ‘.

Ketagihan internet ini tertumpu kepada cybersex addiction dan compulsive gambling. Material berkaitan seksual begitu mudah dan tersiar di internet dengan pelbagai dimensi dan ilustrasi pornografi yang membicarakan unsur-unsur seksual Kewujudan berbagai bentuk laman web negatif telah mencabar nilai dan gaya hidup seseorang insan sebagaimana yang diajar oleh Islam. Pendidikan Islam jelas mencegah umat dari terlibat dalam kegiatan tidak bermoral. Pendidikan akhlak menurut Islam ialah pembentukan jiwa dan peribadi muslim yang mampu menjaga dan menjauhi amalanamalan buruk termasuk melayari laman web lucah. Impak kepada gejala ini maka merebaklah bermacam penyakit sosial akibat ketagihan seks seperti perzinaan, pelacuran, penularan HIV/AIDS, Homoseksual dan Lesbian, penyakit kelamin, curang dan melakukan seks sebelum kahwin di kalangan remaja. 


c)      Penyebaran Fitnah dan Gossip

Kemudahan melalui ICT sering disalahgunakan untuk kepentingan peribadi. Gejala utama yang selalu dikaitkan dengan teknologi ICT ialah penyebaran fitnah dan gossip oleh satu pihak bagi tujuan memburukkan, memalukan, memuaskan diri atau menjatuhkan pihak lain. Fitnah disebar menggunakan laman web internet seperti Facebook, Instagram, Twitter dan media yang lain. Hal ini mencabar etika dan tatasusila hidup sesebuah masyarakat dan negara. Menurut ajaran Islam, penyebaran fitnah adalah satu jenayah yang sangat besar. Fitnah juga boleh memberi kesan terhadap maruah dan kedudukan seseorang individu serta keluarganya. Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Fitnah itu lebih merbahaya dari membunuh”.



d)     Permasalahan Remaja

Minat remaja terhadap ICT terutama teknologi internet dan alat komunikasi mendorong mereka menghabiskan masa di cyber cafe, internet cafe dan telefon pintar. Program seperti chatting, permainan video, sms, mms, 3G, 4G dan berbagai aktiviti melaluinya membawa kesan dan cabaran tersendiri. Kegilaan anak remaja ini memberi cabaran kepada ibubapa mereka. Ramai pelajar yang ponteng sekolah, membazirkan wang, meminjam wang teman sehingga ada yang sanggup menipu dan mencuri. Ibubapa adalah pemimpin kepada anak-anak mereka. Menurut ajaran Islam, setiap pemimpin haruslah bertanggungjawab terhadap pengikut mereka. Kawalan dan penjagaan yang berterusan perlu bagi menjamin anak-anak tidak terlibat dalam kancah gejala sosial. Hal ini mencabar pengurusan sekolah, pihak berkuasa dan orang ramai terhadap masalah pelajar yang mengunjungi pusat internet di waktu sekolah dan selepas waktu sekolah. Kesannya ialah menghabiskan masa kerana terlalu lama melayari internet di cyber cafe, tidak ada kawalan keluarga dan peningkatan masalah serta gejala sosial di kalangan remaja. Hal ini menyebabkan kerajaan terpaksa bertindak mengawal aktiviti kunjungan remaja ke pusat-pusat internet.









KEPERLUAN ETIKA ISLAM DALAM PENGGUNAAN SIBER (ICT)

Etika yang syumul dan menyeluruh amat diperuntukkan pada zaman kini bagi mengawal peradapan manusia bagi melahirkan umat manusia yang akan disegani kerana kebaikan budi dan akalnya.

1. Nilai Murni

Nilai murni ialah nilai yang baik yang dapat membina keharmonian, kekuatan dan pembangunan individu serta masyarakat. Nilai ini perlu dikembangkan bagi membendung pelbagai krisis yang dihadapi oleh masyarakat. Antaranya, nilai kejujuran, kesetiaan dan keadilan. Dalam kategori dunia siber ini, Internet merupakan senjata utama bagi manusia yang memerlukan bantuan darinya. Seseorang yang menggunakan Internet seharusnya tahu hak penggunanya. Pencipta laman web mesti sedar apakah berita yang disebarkan itu akan menambahkan nilai murni yang baik kepada masyarakat atau sebaliknya. Nilai murni yang tidak baik akan  membimbangkan seseorang pengguna yang menggunakannya.



2. Nilai Moral

Nilai moral atau nilai asas adalah seseorang individu dan masyarakat yang dapat membina, mempertahankan kebaikan dan menolak keburukan serta tindakan yang memperjuangkan kebenaran yang perlu dipertingkatkan di dalam masyarakat hari ini. Semua manusia mesti sedar bahawa moral seseorang individu yang baik akan melahirkan satu masyarakat yang harmoni.



3. Nilai Etika

Masyarakat yang beretika ialah masyarakat yang mempertahankan tanggungjawab moral dan aktiviti sosialnya yang akan dapat membentuk masyarakat yang patuh pada peraturan, visi dan misi yang berhemah.

Islam adalah contoh yang jelas telah menyediakan asas etika dan akhlak yang baik untuk diamalkan oleh semua golongan manusia pada zaman siber ini. 

Asas sifat seperti Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fataonah wajar dilakukan bagi membina generasi ICT yang cemerlang.

Sikap Siddiq yang bermaksud “benar” amat besar perananya dalam hidup manusia. Permasalahan “manusia pornografi” dapat diatasi jika manusia sentiasa memastikan setiap tindakan yang mereka lakukan sentiasa didorong dengan iman bagi generasi manusia yang berjaya.

Penyebaran maklumat yang amanah akan sentiasa memastikan bahan yang disebar adalah tepat dan betul.

Didikan terhadap perbuatan amanah ini mestilah dilakukan sejak manusia itu diperingkat “rebung”. 

Sifat Tabligh pula akan memastikan amalan menyuruh manusia berbuat kebaikan dan melarang manusia berbuat kejahatan akan berterusan. 

Setiap individu yang terlibat secara langsung ataupun tidak secara langsung dalam dunia Internet ini sewajarnya faham akan maksud “tabligh”. 

Manakala sifat Fatonah juga sewajarnya disebarluaskan dikalangan orang-orang ICT. Fatonah yang bermaksud bijaksana akan mendorong manusia sentiasa berhati-hati dalam menyebarkan sesuatu di dalam Internet. Jika sifat ini berjaya ditanam dalam jiwa manusia seluruhnya maka etika yang cemerlang akan berjaya diaplikasikan dalam masyarakat dunia hari ini. 



4. Nilai Jujur

Kejujuran adalah dalaman seseorang individu. Bagi seseorang muslim yang setiap beramal dengan nilai-nilai yang berasaskan kepada keikhlasan dan kejujuran maka Nabi Muhammad s.a.w menjelaskan bahawa hadis baginda yang bermaksud “ Setiap amal bermula dengan Niat”. 

Satu perkara yang boleh dilakukan adalah memaparkan etika yang baik ketika melayari laman web. Ia dapat membantu mendidik seseorang daripada melakukan sesuatu yang buruk bagi membina kejujuran diri dalaman seseorang.

Comments

Popular posts from this blog

PENDAHULUAN

Hi, selamat datang ke blog kami, tajuk kami ialah kesan dan cabaran dunia siber dalam pembentukan akhlak masyarakat

KESAN NEGATIF